Ahlan wasahlan


Apa itu Nisa?
Kehidupan sebagai seorang remaja sememangnya penuh dengan dugaan dan memerlukan dahan untuk berpaut supaya tidak hanyut dibawa arus dunia.Dewasa ini,kemunculan pelbagai anasir negatif sangat membimbangkan.Lantaran itu,remaja muslimah terutamanya perlu dididik dan diterapkan dengan nilai-nilai keislaman dalam diri.Ianya perlu dipupuk sedari kecil dan proses ini perlu berterusan sehingga ke peringkat remaja.Nisa' telah ditubuhkan untuk menjadi platform membimbing anak remaja islam yang lebih berjaya di dunia dan di akhirat.Melalui platform Nisa' juga,remaja muslimah berpeluang untuk menimba pelbagai pengalaman berguna untuk panduan kehidupan serta dapat mendidik mereka menjadi insan muslimah yang sejati.Diharap usaha sebegini membuahkan hasil yang diinginikan dan diredhai Allah serta memberi impak besar dalam pembentukan remaja muslimah kini yang berwawasan tinggi.

Sunday, August 30, 2009

puasa dan hikmahnya

Rahsia dan Kemanisan dalam Ibadah Puasa

ALLAH SWT. Telah mengurniakan kenikmatan yang sangat besar kepada seluruh hambanya iaitu dengan memerintahkan suatu amalan yang dapat digunakan untuk menolak tipu daya syaitan, untuk menghampakan angan-angannya dan untuk mematahkan segala serangan busuknya.

Amalan itu adalah ibadah puasa. Itulah amalan yang merupakan benteng bagi sekalian kekasih ALLAH SWT. Rasulullah saw. Bersabda : “Puasa adalah separuh kesabaran.”(HR. Tarmizi & Ibn Majah)Firman ALLAH : “Bahawasanya orang-orang yang sabar itulah yang mendapat pahala tanpa ada hitunganya.”( Az-Zumar : 10 )
Dari keterangan ayat di atas, jelaslah bahawa ibadah puasa itu melebihi dari batas perkiraan atau hitungan.
Untuk mengukuhkan lagi keterangan di atas kita perhatikan pula hadis Rasulullah saw : “Demi Zat yang jiwaku dalam kekuasaan-Nya, sesungguhnya bau busuk pada mulut orang yang berpuasa itu disisi ALLAH adalah lebih harum dari minyak kasturi”.
ALLAH berfirman : “Bahawasanya orang itu suka meningalkan syawatnya, makanan serta minumannya untuk beribadah kepada-Ku. Maka puasanya itu adalah kerana Aku dan Aku sendiri yang akan memberikan balasanya”.( Bukhari & Muslim )

ALLAH juga menjanjikan kepada orang yang berpuasa, bahawa mereka akan dapat bertemu dengan ALLAH, sebagai balasan dari puasa yang dikerjakanya itu, sebagaimana sabda Rasulullah saw : “Ada dua macam kegembiraan bagi orang yang berpuasa, satu macam kegembiraan ialah ketika ia akan berbuka dan yang satunya lagi ialah ketika ia bertemu dengan Tuhannya”.( HR.Bukhari & Muslim )

Firman ALLAH yang maksudnya : “Seorang pun tidak dapat mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu ( bermacam-macam kenikmatan ) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan”.( As-Sajadah : 17 )Para ulama berpendapat, bahawa yang dimaksud oleh ayat di atas ialah orang-orang yang mengamalkan ibadah puasa. Jadi bagi orang yang berpuasa itu pahalanya berlipat ganda sehingga tidak dapat dihitung.

Justeru itu tidak dapat dikira atau dibayangkan tentang besarnya pahalanya, kerana ibadah puasa itu memang di khaskan untuk ALLAH. Adapun penyebabnya, maka puasa mendapat keistimewaan sebagaimana yang dijelaskan adalah :
1. Ibadah puasa adalah merupakan ibadah pengekangan diri dan rahsianya hanya diri sendiri yang mengetahuinya. Ia bukanlah suatu ibadah yang dapat dilihat, sebagaimana ibadah-ibadah lainnya. Disamping diri sendiri, hanya ALLAH sahaja yang mengetahuinya, kerana puasa itu adalah amalan batin yang menuntut kesabaran yang sangat tinggi.

2. Ibadah puasa adalah merupakan senjata untuk melawan musuh ALLAH Azzawa jalla. Kerana sebagai jambatan bagi siasatan untuk mengoda manusia melalui nafsu syahwat, sedangkan nafsu syawat itu berpangkal dari makanan dan minuman .

Jadi usaha untuk melawan musuh ALLAH, adalah sebagai salah satu jalan untuk menegakkan agama. Datangnya pertolongan ALLAH itu pun bergantung kepada pengabdian manusia kepada-Nya, sebagaimana firman ALLAH maksudnya :
“Apabila kamu menolong ALLAH (menolong memajukan agama ALLAH), maka ALLAH juga akan menolong kamu dan mengukuhkan kakimu (kedudukanmu)”. ( Muhammad : 7 )
Dari keterangan di atas, maka jelaslah oleh kita bahawa puasa adalah merupakan pintu ibadah serta dapat dijadikan benteng. Kerana sangat besarnya keistimewaan dan keutamaan dari ibadah ini, sehingga mencapai tingkatan yang setinggi-tingginya, maka sangatlah perlu untuk diketahui apa-apa sahaja syarat-syarat lahiriah dan batiniah dari ibadah tersebut.

1 comment:

  1. teruskan berusaha menyemarakan dakwah di bumi dungun :)

    -hani (bks praktikal student)-

    ReplyDelete